Khamis, 30 Oktober 2014

Aku cemburu

Usai berbual
Berbual tentang Mesir
Tentang hidup
Tentang suasana
Di sana

Dingin menggigit
Kerana musim salji
Bakal tiba
Wajah laut indah
Kerana airnya
Dihiasi kebiruan nikmat.

Aku cemburu dengan kau kawan.

Selasa, 28 Oktober 2014

Malam

Malam makin menggelap
Menenggelam hati
Lemas
Tanpa cahaya
Bintang
Bulan
Semua bisu
Yang tinggal cuma aku.

Jumaat, 5 September 2014

Hari Genap Tahun Kelapan Belas (29 Ogos 2014)

Pertama dan selamanya aku bersyukur pada Tuhan atas keizinanNya aku masih berdiri di atas dunia ini. Aku masih diberi nafas untuk menghirup nikmat hidup. Aku masih diberi mata yang melihat dunia. Melihat ibu dan ayah. Melihat insan yang aku sayang. Aku mungkin tak dapat lihat semuanya bahagia sebab setiap orang ada masalah mereka sendiri. Mungkin mereka ada cara mereka sendiri. Aku juga masih diberi sebuah jasad untuk dimanfaatkan. Dan aku harus bersyukur atas pemberian ini. Bak kata Spiderman "with great powers,comes a great responsibilities".

Hari genap tahun kelapan belas,aku merenung kembali pada dada langit. Membuka lembaran kenangan yang tebuku di hati. Ini hidupku. Ini pilihanku. Aku kini cuba belajar menghirup rona kehidupan dunia sebanyak mungkin. Kehidupan yang aku sendiri tahu bahawa ia cuma sementara. Aku sendiri pun tak pasti 'sementara' itu sampai bila. Mungkin esok atau lusa. Apa pun yang terjadi, Life must go on. Bertemankan secangkir keazaman inilah aku tatang untuk menjadi bekalan buat aku teruskan pengembaraan ini. Aku tahu hidup tak selalu indah. Sedangkan langit pun tak selalu cerah. Doaku Ya Qowiy, Kau kuatkanlah hati ini. Kau teguhkanlah semangat ini. Kau tetapkanlah hati ini. Aku cuma hamba tiada daya.

Mata anugerah Ilahi ini buat aku melihat dunia. Melihat warna dunia yang dulu aku anggap cerah dan ceria selalu. Tapi,........ aku silap rasanya dan mungkin kerana itulah aku jadi kaku. Aku terkesima sendiri apabila kaca mata sendiri kelam dalam kusam kegelapan. Aku bukan saja melihat. Tapi aku yang merasai. Perit. Pedih. Sakit dan akhirnya aku jadi lali. Hingga aku suatu hari, Alam mengajarku tentang warna. Hari itu, gerimis mengundang tatkala mentari masih garang menyinar. Aku terpandang kepada lereng langit. Dan pelangi itu nampak cantik sangat. Ia cantik bukan kerana warna ceria sahaja. Ia cantik kerana warna ceria (merah,kuning) dan suram (biru,indigo). Aku mula faham. Terima kasih Pelangi. Terima kasih kepada Tuhan yang mencipta langit.

Kini, Jasad ini masih mampu bernafas. Pinjaman teragung dari Ilahi. Lahirnya bersebab. Maka manfaatkan ia bersebab. Jangan jadi bodoh sombong. Ini cuma pinjaman sementara. Entah esok atau lusa, Jasad ini akan dipulangkan. Manfaatkan sebaiknya.

Belajar bersyukur dengan setiap pemberian Ilahi.

Isnin, 18 Ogos 2014

Sabar

Langit mendung kelabu
Dan kesedihan sarat dikandung
Tipis angin pun
Belum pasti menyembuh.

Sabarlah duhai hati.

Sabtu, 9 Ogos 2014

Mimpi Angin


"aku cuba celikkan mata
tapi berat
aku cuba paksa
tapi hati tak bagi
aku tak nak bangun dari mimpi ini
ya
aku tak nak bangun
aku rindu wajah-wajah ini
aku rindu hangatnya genggaman kasih ibu
aku rindu teguhnya sayang ayah
aku rindu nakalnya senyum adik-adik
cuma dalam mimpi pagi ini mereka muncul
terasa sekejap benar pertemuan khayalan tadi
entah bila lagi mereka akan datang
aku rindu mereka"

Amir Asyraffudin
Kuala Lumpur
10082014




 

Ahad, 27 Julai 2014

Jejak yang ditinggal Ramadhan

Ramadhan yang ada kini berlalu pergi. Dan aku pasti merindui Ramadhan. Ramadhan tahun ini bagi aku sangat berbeza. Bagi aku, Ramadhan yang aku lalui kali ini merupakan Madrasah (sekolah) yang banyak mendidik aku. Ramadhan kali ini aku lalui sendiri. Aku lakukan segalanya sendiri. Ramadhan ajar aku berdikari. Ramadhan ajar aku erti sebuah kepayahan.

Sejujurnya aku gembira. Walaupun di hati ada terpalit sedikit rasa pilu. Pilu itu sebenarnya rindu. Biasalah rindu seorang anak kepada keluarganya. Rindu seorang abang long kepada adiknya. Rindu Amir kepada Ibu dan Ayah. Ramadhan tahun ini aku cuma sempat berbuka sehari bersama mereka. Dan itu benar-benar buat hati pilu. Anak manja? Biarlah. Itulah aku. Bagi aku, ibu dan ayah adalah segalnya. Andai aku sebuah pohon, ibu dan ayah lah akar untukku berdiri. Andai aku seekor burung, ibu dan ayah lah sayapku. Mereka segalanya bagi aku.

Warkah coretan Ramadhan kali ini penuh. Penuh dicoret dengan warna warni persahabatan. Aku lalui ramadhan banyak bersama kawan-kawan. Iftar bersama-sama. Solat terawih bersama-sama. Moreh bersama-sama. Semuanya bersama-sama. Kami kenal belum pun sampai sebulan, tapi kami sangat rapat. Dan aku amat sayangkan ukhuwah itu. Kami terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa. Namun, itu bukan tembok yang memisahkan kami. Islam tak pernah ajar aku bermusuhan. Islam itu indah dengan ukhuwah. Mereka sentiasa ada bersamaku. Sedih. Gembira. Semua ada. Dan aku harap ia kekal sampai bila-bila.

Kini baki Ramadhan yang tersisa semakin berlalu begitu pantas. Harapanku cuma satu. Aku harap Tuhan masih pinjamkan aku nyawa untuk Ramadhan akan datang.

Raya dah dekat. Cuti seminggu saja. Tapi cuti raya ini aku harap sangat bermanfaat buatku. Memanfaatkan setiap masa yang ada. Buat mereka. Buat seluruh ahli keluarga. Baju raya semua dah siap katanya. Aku pun tak sabar nak tengok macam mana rupa baju aku tu.

Dan yang paling penting, aku tak sabar untuk kembali ke Muar. Kampung halaman. Walaupun tak rupa kampung. Haha. Rindu bilik. Rindu Tv. Rindu katil. Rindu pintu. Rindu tingkat. Rindu itik. Rindu ayam. Rindu angsa. Hahaha.

Tapi perkara yang paling aku rindu adalah melihat wajah ibu dan ayah. Senyum mereka. Pancaran mata mereka. Inspirasi hidupku.

Hidup tak selalunya indah. Namun, aku harap aku kuat. Kuat mendaki kerikil gunung hayat ini. Pelangi itu indah kerana hujan. Langit itu cerah kerana terik mentari. Maka, manusia akan sado kerana dugaan.


Ahad, 20 Julai 2014

Tentang sebuah Impian

Mencoret tentang sebuah impian. Semua orang mampu mencoret tentang sebuah impian. Sama ada akhirnya menjadi sebuah kenyataan atau sekadar angan semata-mata itu yang menjadi perkara pokok sebenarnya.

Aku punyai sebuah impian yang aku harap mampu membuatkan aku jadi insan yang bermanfaat buat semua. Aku punyai sebuah impian yang aku harap mampu bantu aku meraih saham di akhirat. Ya, aku punyai impian untuk menjadi seorang penulis yang punyai buku sendiri. Kepuasan itu sebenarnya pokok kepada segalanya.

Aku baru lagi dalam dunia penulisan. Dan mungkin menerbitkan buku dalam masa terdekat adalah suatu yang mustahil. Namun, hatiku benar-benar inginkannya. Mungkin, tidak perlulah terlalu terdesak dan cepat. Aku masih dalam proses mempelajari dan mendalami bidang penulisan. Terlalu banyak lagi asam garam penulisan yang belum aku hadam. Aku masih mentah.


Tapi aku bersyukur punyai kawan yang sentiasa support aku dalam bidang ini. Mereka kawan yang baru aku kenal. Belum pun sampai sebulan kami kenal, tapi merekalah semangat aku sekarang.

Impian ini juga terbina atas dorongan mereka. Atas sokongan mereka. Inshaa Allah, aku akan cuba yang terbaik.

Aku sedang usahakannya. Aku sedang kerahkannya. Moga impian ini bakal menjadi suatu kenyataan suatu hari nanti. Amiin!

Selasa, 15 Julai 2014

Ramadhan Di Institut Bahasa

Hari Ini ramadhan ke-17 aku di Institut Bahasa. Semuanya baik-baik saja. Semuanya okay saja. Aku pun gembira di sini. Cuma. Apa yang boleh aku kongsikan,ramadhan ini yang paling berbeza buatku. Ramadhan tanpa keluarga di sisi.

Kurma beli sendiri.

Makanan berbuka beli sendiri.

Bangun sahur sendiri.

Berbuka beli sendiri-sendiri.

Semuanya sendiri.

Kalau di rumah ibu lah yang kejutkan bangun sahur. Kalau di rumah ayah lah yang ke bazaar mencari makanan buat berbuka.

Namun, di sini segalanya aku sendiri. Kalau malas bergerak,memang laparlah agaknya.
Segalanya berbeza. Dan aku pun harus jadi yang berbeza. Aku dah dewasa.

Mujurlah ada kawan-kawan yang awesome. Mereka sentiasa ada untuk iftar bersama-sama. Terasa kuat bila kita duduk dalam jemaah. Yang non-muslim pun sangat mesra. Tiada racist di sini.

Tapi. Ada yang masih sama. Surau diimarahkan seperti biasa di mana sekalipun. Sejujurnya,aku jarang bergaul dengan qariah surau ketika di Muar. Namun, di IB qariah surau At Taqwa memang terbaik. Abang-abang senior lah qariah surau At Taqwa . Kami macam satu keluarga. Berbuka sama-sama. Moreh sama-sama. Tadarus pun sama-sama. Eh, lagi satu. Solat pun jemaah sama-sama.

Banyak benda dikongsi bersama. Momen yang sempat aku rakam adalah ketika moreh steamboat selepas kami berjaya khatam 30 juzuk pada 11 ramadhan.


Banyak lagi sebenarnya nak dikongsi. Namun,biarlah ia dikongsi pada tinta yang akan datang.
Ramadhan di sini berbeza tapi masih yang sama.
 
Dan aku baik-baik saja :D

Sabtu, 12 Julai 2014

Jom Jadi 'Special'

DAN hari ini masa berjalan begitu pantas. Aku akan kembali pulang ke IPG . Sebenarnya aku terasa macam baru sehari berada di sini. Sedangkan sudah masuk hari ketiga berada di rumah. Masa terlalu mencemburui aku. Serius,sangat pantas berlalu.

Perbualan bersama ayah lewat malam semalam benar-benar melukis sebuah kenangan. Akulah individu yang paling gemar mendengar cerita 'inspiring' ayah. Ayah gemar menceritakan kenangannya di IPG yang dulunya dipanggil Maktab Perguruan.

Kata ayah :

"Buatlah apa yang kita nak buat dalam hidup, yang penting tanamkan dalam diri yang kita mesti ada sesuatu yang membuatkan kita istimewa daripada orang lain"

Aku bukan insan 'special'. Tapi aku tahu dari riak mata ayah,dia memang nak aku jadi insan yang istimewa. Aku bukan insan istimewa tapi aku akan cuba jadi insan yang istimewa.

Sabtu, 5 Julai 2014

Suasana aku suka

IPG kampus Bahasa Melayu
Hari ini genap sebelas hari aku berada di IPG kampus Bahasa Melayu. Tak sampai setahun pun lagi. Tapi hati selesa benar di sini. Suasana yang dibina para senior untuk sekelian lama,memang buat aku rasa selesa. Saling mengambil berat,hormat-menghormati dan bertegur sapa. Aku sangat selesa di sini.

Aku lega sangat sebab akhirnya berjaya menyesuaikan diri disini. Sebelum ni,aku rasa macam ditampar serba salah. Ada saja yang menyapa tubuhku. Rasa seolah-olah aku berada di tempat yang salah. Rasa itu kuat sangat masa aku berada di UIAM. Memang itu pilihanku. Memang itu impianku sejak kecil. Menjadi seorang ENGINEER.

Namun,Alhamdulillah istikharahku menemui jalan. Dalam masa sehari aku membuat keputusan dan mengisi borang keluar dari UIAM. Mula-mula agak resah. Tapi berbekalkan semangat,aku tetapkan tekad ini kerana aku ada matlamatku sendiri.

Dan kini aku tahu aku seorang ENGINEER manusia.

Ini Kota rayaku

Langit di sini cantik,
Dari birai bilik,
Pencakar langit megah berdiri,
kota raya tak pernah mati,
yang mati cuma keletihan manusia,
siang malam bekerja.

kenderaan ada meraung,
bingit bunyinya,
selalunya,
kalau di halaman bersemayam,
cuma teriakan murai,
Nyanyian sang Biring saja.

Tapi di sini berbeza,
kerna ini kota raya,
dan telah berjanji,
menjadi
Kota rayaku.

Khamis, 3 Julai 2014

AHLI SYURGA DAN RAMADHAN

            Serasa sudah lama tidak berblog. Barangkali diri ini sengaja disibukkan untuk sesuatu yang tidak penting, walhal menulis itu adalah nadi, walhal menulis itu adalah nyawa bagi diri seorang Maryam.

             Mungkin masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Salam Ramadhan. Esok sudah Ramadhan ke-enam. Masa begitu pantas berlari, meninggalkan sisa-sisa hidup yang harus kita tempuhi.

              Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang tersedih bagi saya. Kerana begitu banyak berita kematian yang singgah bertandang di telinga. Bermula dengan kawan satu sekolah menengah, arwah Nor Aishah Mohd Nor, kemudian bapa kepada kawan, disusuli pula kawan satu kuliah, Faiz Hassan dan seorang murabbi terkenal, arwah Ustaz Abu Bakar Chik. Dan yang terakhir adalah ibu kepada Nik Nur Madihah; iaitu sehari sebelum tibanya Ramadhan tahun ini. Al-Fatihah. Semuanya hinggap di telinga dalam masa dua minggu sebelum Ramadhan.

                Bercerita tentang Ramadhan, kali ini Ramadhan yang saya lalui sedikit berbeza daripada yang lepas-lepas. Kali ini saya berkhidmat sebagai seorang guru merangkap warden asrama. Hampir sebulan sudah bergelar guru sandaran di salah sebuah sekolah swasta di Hulu Langat, Selangor. Hidup saya sehari-hari dikelilingi pelajar tahun satu hingga tingkatan lima.

            Rupanya menjadi seorang guru ini tidaklah semudah disangka. Jika dahulu hanya sekadar mendengar, “Guru adalah mulia”, “Guru umpama ibu bapa”, dan berbagai lagi tanggapan tentang profesion seorang guru. Kini, saya mengalaminya sendiri – walaupun masih terlalu hijau, paling tidak sedang bergelar seorang guru –.

            Dan benarlah, guru itu adalah air yang tenang mengalir di celah batu, guru jua adalah umpama segelas air yang ditemui di bawah panas terik mentari, dan terkadang guru itu seperti hujan yang menyuburkan tanaman di tanah gersang.

           Selama saya di sini, saya mengenali anak-anak (mungkin adik-adik lebih sesuai) seperti Zarif, Taha dan Syafiq. Semuanya sekitar umur 13 dan 14 tahun. Masing-masing punya cerita yang tersendiri. Mari saya kisahkan kepada anda cerita ahli-ahli syurga ini.

             Zarif adalah seorang anak 14 tahun yang pendiam. Di kala saya mengajar subjek Matematik, dia hanya memandang bisu. Entah faham, entah tidak. Apabila didekati, barulah diajukan persoalan kepada saya, “Ustazah, yang ini macam mana?”

            Selalu diulang-ulangnya “Ustazah, ajarkan saya” di kala saya sedang mengajar pelajar tingkatan satu di luar waktu mengajar. Selalunya saya hanya berdiam di surau; sementara menunggu waktu mengajar. Dan di saat  itulah pelajar-pelajar datang membawa soalan masing-masing. Zarif juga tidak ketinggalan dengan ungkapannya “Ustazah, ajarkan saya”.

               Dan apabila dibelek-belek kertas peperiksaan pertengahan tahunnya, tiada yang betul waima satu soalan pun untuk kertas Matematik 2. Namun saya kagum dengan kesungguhan untuk menjawab soalan tersebut. Beberapa kali saya belek kertas tersebut untuk mengenalpasti kelemahannya, rupanya dia hanya tersilap memahami konsep. Asas-asas seperti operasi tambah, tolak, darab dan bahagi telah dikuasai dengan baik.

Zarif begitu mengajar saya tentang kesungguhan.

            Dan di saat itu, saya yakin bahawa inilah pelajar – dengan ungkapannya “Ustazah, ajarkan saya” – yang harus saya dekati jiwanya dalam masa dua bulan berbaki ini untuk memberi peluang kepada seorang Zarif dalam subjek Matematik. Kerana saya percaya Zarif sebenarnya adalah seorang pelajar yang cuma tidak diberi peluang untuk menunjukkan potensi sebenarnya.

               Saya juga berpeluang berkenalan dengan seorang pelajar bernama Taha. Dia tidak pernah mengenali ibu kandungnya. Ceritanya terbongkar apabila saya mengajar subjek Bahasa Inggeris.Kala pelajar lain sibuk bercerita tentang ibu masing-masing di dalam esei, dia pula termenung panjang. 

            Apabila saya mampir pada mejanya, hanya satu soalan yang terlontar dari bibirnya, “Ustazah, kalau kita tak kenal mak kandung kita macam mana?”. Luluh hati saya kala dia bertanya sebegitu. Mungkin itulah persoalan yang berlegar dalam menung panjangnya. Namun percaya atau tidak, saya begitu terkesan dengan semangatnya untuk belajar. Dia tidak pernah menjadikan ketiadaan seorang ibu kandung sebagai alasan untuk lemah dalam hidupnya. Dia, sentiasa bersemangat di dalam kelas.

 Dia mengajar saya erti kekuatan dan kecekalan dalam hidup.
               
               Rupanya, bersama ahli syurga amat mengajar saya hikmah yang tersembunyi. Bersama mereka amat melahirkan satu kepuasan dalam memberi sekaligus mengajar saya erti cinta yang tersirat.

Erti cinta seorang guru kepada pelajarnya.

Erti harapan, mimpi dan angan.

Erti polos dan kejujuran.

Dan juga erti memberi senyuman dengan senyuman.

Sebagaimana mentari yang tidak pernah jemu untuk terbit dan terbenam setiap hari – meski manusia tidak pernah berterima kasih kepadanya –, seperti itu jualah hakikat seorang guru. Dia akan tetap memberi dan mengasihi anak-anak pelajarnya meski mereka bukanlah anak yang dikandung sembilan bulan mahupun dari benih mereka sendiri.

Kerana pada seorang guru itu, akan engkau dapati erti memberi yang cukup luas untuk diterokai!




Rabu, 18 Jun 2014

Potret rindu

Pada dada langit
Aku pasti merinduinya
Biru mewarnai kantung hati
Menyihir bibir
Mengoyak senyum.

Pada teguhnya tanah ditapak
Aku pasti merinduinya
Seolah murabbi jiwa
Agar aku tetap berdiri
Walau sekelumit jiwa
Diterjah dugaan.

Pada dinginnya angin menyapa
Aku pasti merinduinya
Mengandung seribu perkhabaran
Demi sebuah erti kehidupan.
Aku tahu
Suasana ini terpaksa kutinggalkan
Namun,
Aku pasti merinduinya.

Selasa, 10 Jun 2014

Serupa tiada Beza

Dada langit
Masih tiada beza
Segalanya serupa
Ceria membiru nun di sana
Mewarnai kelam pucuk hati
Hampir patah dihembus angin.

Hamparan tanah
Masih sama
Berbeza tiada
Gersang kekeringan mengukir retakan
Membias jiwa yang kerinduan
Merekah luas di sanubari.

Segalanya serupa
Berbeza tiada.

Jumaat, 6 Jun 2014

Aku Pasti Merindui Segalanya

Malam ini aku masih belum mampu memejamkan mata.
Aku sendiri masih belum puas menikmati masa berkualiti bersama keluarga.
Waktu yang aku lalui seolah sangat singkat.
Aku pasti merindui setiap detik yang berlaku dalam hidup.
Ya.
Aku pasti merindui segalanya.
Aku sendiri belum tahu.
bagaimana dan apa yang akan terjadi.
Untuk hari esok,lusa ataupun yang akan datang.
Namun,
Yang aku pasti,
Aku pasti merindui segalanya.


Ahad, 1 Jun 2014

Layar Kehidupan : Layang-layang

Cahaya sore memancar menerangi langit Tasik Titiwangsa. Pancuran air di tengah tasik menyegarkan mata yang memandang. Pepohon rendang yang menghijau mencetuskan suasana harmoni. Tiada musik indah selain kicauan sang murai bergurau senda. Mereka berterbangan mengelilingi taman rekreasi yang gamat dengan suara manusia yang bersantai di tepi tasik. Ada yang berkelah menikmati sandwich bersama keluarga.

Aiman lebih gemar berjogging di waktu petang pada hari minggu. Ia menyihatkan tubuh badan selain menghilangkan tekanan di tempat kerja. Berjogging juga membantu Aiman membawa dirinya lebih mengenali alam ciptaan tuhan. Menelurkan rasa bersyukur. Bagi Aiman syukur mengajarnya erti kebahagiaan.

Petang itu, perasaan Aiman lain benar. Hatinya tidak selesa memandang sekumpulan anak muda. Perbuatan mereka sungguh tidak manis dipandang. Mereka berumur dalam lingkungan belasan tahun. Duduk berpasang-pasang menghadap tasik. Ada yang merokok. Ada yang 'berendut' seakan pasangan suami isteri. Hati Aiman tidak senang. Dia bukanlah Ustaz tapi perbuatan itu cukup menyakitkan mata yang memandang.

Hati Aiman bercampur baur. Mereka masih terlalu muda. Banyak lagi perkara yang berfaedah boleh dilakukan. Mengapa perlu membuang masa dengan aktiviti tak bermoral?bukankah mereka bakal menjadi pemimpin di masa akan datang.

"Ah,andai begini pemuda sekarang. Aku risaukan masa akan datang." Bisik Aiman sendirian sambil menepuk dahinya yang luas itu.

Lantas,Aiman mengorak langkah ke arah mereka. Ada teguran yang ingin diluahnya.

"Korang semua tak ada aktiviti lain ke?maaf abang kacau. Tapi buatlah aktiviti berfaedah sikit."

"Sorry pakcik,Kami tak ganggu pakcik pun. Jadi pakcik jangan ganggu kami."teriak salah seorang dari mereka. Gaya rambutnya seakan Mohawk dan memakai Banggle.

Aiman terkedu mendengar jawapan mereka. Tiada perasaan lain kecuali kecewa yang teramat melihatkan remaja ini. Salah siapa semua ini? Adakah ibu bapa yang sibuk bekerja?tidak wajar. Kerana ibu bapa mencari nafkah demi mereka. Salah pilih kawan? Mungkin. Persoalan itu terus berkerawang di benak fikiran Aiman. Dia kini membuka langkah berundur. Kekecewaannya menyaluti niat murninya. Aiman beredar dari tempat itu tanpa kata-kata. Remaja-remaja itu cuma memandang sinis.

Aiman menuju ke arah keretanya yang tidak jauh dari taman rekreasi itu. Di hatinya berkecamuk mengenangkan bangsanya yang kian mundur. Fikirannya kini diusik sebuah rekoder suara yang menenggelamkannya semula ke kenangan silam.

"Aiman,kita tak ubah macam layang-layang."

"Kenapa dengan layang-layang?"

"Semakin tinggi kita terbang,semakin tinggi risiko kita terlepas daripada tali yang menarik. Abang hanya mampu jadi tali buat aiman. Tapi abang tak mampu menarik kuat."Abang Amin mengesat peluh di pipinya. Penat benar dia bersawah hari itu. Matanya bersinar memasang sebuah harapan.

"Aiman,andai layang putus talinya, pasti kau terbang jauh tanpa arah. Harapan ketika itu cuma jatuh ke tanah dan koyak rabak. Aiman,angin akan sentiasa bertiup. Tapi andai aiman terlalu ghairah untuk terbang, Aiman pasti hanyut."

Aiman mengangguk. Dia seolah faham apa yang dibutirkan mulut abangnya. Dia tahu pengharapan abangnya terlalu tinggi.

"Terbang elok-elok Aiman. Perjalanan masih panjang." Abang Amin mengoyak senyum. Dia ingin benar melihat aiman berjaya.

Aiman membuka pintu keretanya dan meneruskan perjalanan pulang ke rumah.

Isnin, 19 Mei 2014

Layar kehidupan : Cikgu Nak Tahu?

Suasana di jalan raya agak sibuk hari ini. Biasalah, hari minggu. Deruman enjin memekik mengisi keriuhan langit kota raya Kuala Lumpur. Bunyi bingit hon kereta yang dibunyikan pemandu yang berang dengan jalan yang jammed . Cikgu Halimah memandu kereta Proton Wira berwarna merahnya masuk ke porch kereta halaman rumahnya. Dia sedikit pun tidak kekok. Almaklumlah pemandu yang sangat berpengalaman dan telah mempunyai lesen hampir belasan tahun.

Seusai pintu rumah dibuka,dia mengeluarkan semua barangnya daripada tempat duduk belakang. Kelihatan, banyak barang-barang dapur yang dibelinya. Sekonyong-konyong,seorang wanita tua lewat 70-an,berbadan bongkok dan rambut beruban keluar menyambut Cikgu Halimah pulang.

"Baru pulang nak?"sapa Mak Nah.

"Ya emak."jawab Cikgu Halimah yang sedang sibuk menurunkan barang dapur.

Mak Nah bingkas menuju ke arah Cikgu Halimah untuk turut sama mengangkat barangan dapur yang dibeli ke dalam rumah. Kelihatan Mak Nah masih mampu dan rajin melakukan kerja seorang suri rumah meskipun kudrat diratah usia. Mak Nah memang seorang yang rajin. Sebelum ini, Mak Nah tinggal kampung. Dia rajin melakukan kerja-kerja kampung bagi mengisi masa lapangnya. Namun,setelah Cikgu Halimah berpindah ke kota raya metropolitan itu, Dia turut sama mengajak Mak Nah tinggal bersamanya.

"Fuh,penatnya hari ini. Cuaca pun agak panas hari ini."keluh Cikgu Halimah lantas mencampakkan tas tangannya ke atas meja di ruang tamu.

Dia merebahkan badannya ke atas sofa yang empuk menghadap kawasan luar rumahnya sambil mata ligat memandang motosikal yang lalu lalang di depan rumah banglo dua tingkat yang dibelinya beberapa tahun yang lalu. Hatinya masih mengenangkan Aiman yang ditemuinya di Hypermarket tadi. Aiman kini sudah berjaya memegang jawatan di salah satu syarikat terkemuka. Dia berasa sangat bangga. Dulu, Aiman sangat lemah dalam pelajaran. Mungkin kesusahan yang mendorongnya untuk berjaya

Kebetulan,hari itu merupakan Hari Guru. Dia ketawa kecil mengimbau kembali kisah Aiman dan dirinya yang berlaku pada Hari Guru ketika Aiman masih dibangku sekolah.

"Selamat Hari Guru,Cikgu Halimah."Sapa Aiman sambil menghulurkan sebuah bungkusan berbentuk kotak yang dibalut cantik dengan pembalut bercorak bungaan.

"Ini untuk cikgu?Terima kasih Aiman."jawab Cikgu Halimah lantas mengukir senyuman.

"Cikgu nak tahu?" tanya Aiman.

"Apa Aiman?" tanya Cikgu Halimah kembali mengajukan soalan sambil mengangkat kening. Terpancar persoalan di wajah Cikgu Halimah yang terkejut tidak semena mena wajah dan nada Aiman bercakap berubah.

"Hadiah ini,Abang Amin yang bungkuskan. Aiman tak reti nak bungkus. Aiman nak cuba bungkuskan untuk cikgu tapi tak jadi."jelas Aiman dengan nada sedih.

"Tak mengapa Aiman. Cikgu tak kisah pun. Asalkan niat kamu ikhlas Aiman."Pujuk Cikgu Halimah.

"Tapi cikgu. Hadiah saya tak semahal kawan-kawan. Dalam bungkusan tu cuma ada cawan yang abang saya beli di kedai runcit.Harganya cuma 2 Ringgit. "Jelas Aiman lagi sambil matanya berkaca.

Cikgu Halimah tersenyum. Hatinya sebak. Hanya Tuhan yang tahu apa yang dirasakan Cikgu Halimah.

"Tak mengapa Man. Apa pun hadiah yang Aiman bagi,cikgu suka. Asalkan Aiman Ikhlas, Cikgu rasa hadiah ini cukup bermakna."Pujuk Cikgu Halimah lagi. Pipinya basah disihir hati yang sedang sebak.

Bagi Cikgu Halimah, Aiman seorang budak yang jujur. ya. sangat beruntung seandainya punya anak seperti Aiman. Dia anugerah tuhan tidak ternilai.

"Halimah, tolong emak kejap. Susahlah nak buka penutup kicap ni."

Sayup-sayup kedengaran suara ibunya di dapur meminta tolong. Cikgu Halimah kini tersedar daripada lamunanya. Dia menggeleng kepala sambil tersenyum mendengar kerenah ibunya. Dia bingkas bangun menuju ke dapur.




Jumaat, 16 Mei 2014

Layar kehidupan : terima kasih cikgu

"Err,ni Cikgu Halimah ke?" Aiman menyapa seorang wanita tua.

Redup pada wajahnya terpancar ketenangan jiwa yang dimiliki wanita tua itu. Badannya bongkok. Aiman hampir kehilangan jejak wanita tua yang dikejarnya sejurus terlihat menolak troli agak laju berdekatan rak-rak rempah ratus. Wanita tua itu mengingatkan Aiman kepada bekas guru kesayangannya sewaktu di sekolah rendah.

Suasana di Hypermarket itu riuh sekali. Ada pengumuman mengenai promosi barangan. Ada bunyi radio. Namun,bunyi bingit banyak datang daripada suara orang ramai yang mengunjungi hypermarket. Pada hujung minggu, kebanyakan warga kota sering mengunjungi hypermarket untuk membeli barang keperluan dapur,makanan basah dan kering. Begitu juga Aiman. Hari-hari biasa mungkin dia tidak berkesempatan kerana sering pulang lewat.

"Ya saya cikgu Halimah. Awak ni......." jawab wanita tua itu sambil merenung wajah anak muda itu.

Hati dan jiwa Puan Halimah direntap mengimbau kenangan lalu. Wajah pemuda itu, mengingatkannya kepada seorang budak yang suatu ketika seorang pendiam. Ayah dan ibunya meninggal dunia ketika dia masih terlalu mentah untuk mengenal dunia. Budak itu miskin. Dia jarang makan pada waktu rehat. Kalau makan pun, makanan bekalan yang dibawa dari rumah. Baju sekolah budak itu sudah pudar warnanya. Kasutnya juga koyak. Cikgu Halimah mengenali budak itu ketika budak itu berusia 10 tahun.

Ada ketika Cikgu Halimah mengajak budak itu tinggal bersamanya. Namun, ditolak kerana dia lebih selesa tinggal bersama abangnya. Lantas,persoalan terus terungkap di bibir Cikgu Halimah kepada budak itu.

"Aiman tak sedih ke hidup susah?"

"Saya tak kisah saya hidup susah yang penting saya gembira. Saya tengok Burung murai tetap gembira berkicau walaupun hidup mereka tanpa wang ringgit."

Kata-kata budak itu benar-benar memberi kesan kepada cikgu Halimah. Walaupun di usia yang masih muda,budak itu seolah-olah sudah tahu apa itu erti bersyukur . Cikgu Halimah amat mengagumi budak itu.

Budak itu seorang yang pendiam. Dia jarang berkongsi masalanya dengan orang lain. Dia juga seorang budak baik. Ramai orang senang hati dengannya .

Sejak budak itu menolak untuk tinggal bersamanya, cikgu Halimah tetap ingin membantunya. Setiap hari pada waktu rehat,cikgu Halimah akan menunggu budak itu untuk di luar kelas untuk membawanya makan di kantin. Cikgu Halimah sangat murah hati. Dia tidak pernah berkira untuk membelanja Aiman makan setiap hari sekolah.

Pada mulanya, budak itu menolak. Namun,setelah berkali-kali didesak, budak itu akhirnya menerima. Kadang-kadang, cikgu Halimah sering mengajak budak itu menyertai kelas tambahan yang diadakan oleh Cikgu Halimah.

Hari berganti hari. Kewujudan Cikgu Halimah dalam hidup budak itu,terlalu banyak membawa perubahan dalam hidup budak itu. Dahulunya pendiam, kini petah berkata-kata. Pelajarannya kini semakin maju ke hadapan.

Budak itu berjaya mencatat kejayaan cemerlang dalam UPSR dan akhirnya mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh. Sejak melanjutkan pelajaran ke sana, budak itu tidak lagi kelihatan di kaca mata cikgu Halimah. Namun,rindunya pada budak itu amat mendalam. Hari ke hari, dia terus menanti bahawa suatu hari nanti dia akan menemui seorang budak seperti budak itu.

"Awak ni Aiman kan?"tanya cikgu Halimah.

"Ya saya. Sayalah Aiman. Pada mulanya saya hampir tak perasan tadi. Namun,kasih sayang cikgu yang masih berbekas di hati saya. Saya masih cam cikgu". Jelas Aiman.

"Haha. Mana taknya Aiman, dulu saya muda. Anak dara sunti lagi. Sekarang dah jadi anak dara tua. "Jawab cikgu Halimah sambil ketawa kecil.

"Cikgu mengajar lagi di sekolah?."tanya Aiman.

"Sudah pencen. Dua tahun yang lalu. Sekarang da duduk rumah saja."jawab cikgu Halimah.

"Oh. Cikgu saya nak ucapkan ribuan terima kasih . Berkat kasih sayang dan pengorbanan cikgu kepada saya, akhirnya saya berjaya memegang segulung ijazah. Cikgu lah yang mencetuskan semangat untuk saya belajar."jelas Aiman.

"Itu tanggungjawab saya Aiman. Semoga awak berjaya dunia akhirat."kata cikgu Halimah.

"Insyaallah. Cikgu, jom kita minum kat Coffee house...."

"Tak apa lah Aiman. Cikgu kena cepat. Emak cikgu tunggu di rumah. Ada masa kita jumpa lagi ye."cikgu Halimah mencelah.

"Baik cikgu. Ada rezeki kita jumpa lagi."kata Aiman.

Ahad, 11 Mei 2014

Layar kehidupan : Ibu

Hari itu hari minggu. Kebiasaannya kebanyakan warga kota Kuala Lumpur akan mengambil peluang ini untuk bersama keluarga setelah sibuk bekerja. Dan seperti selalu Aiman akan berada di rumah. Dia gemar mengisi masa lapangnya untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama abangnya,Amin.

Sejak Aiman bekerja di Kuala Lumpur,Amin turut serta meninggalkan kampung setelah dipelawa Aiman untuk bekerja di Kota raya kosmopolitan itu. Lagipun,mereka sudah tidak punya siapa-siapa di kampung. Kadang-kadang mereka Mengisi hari minggu berbual sampai lewat petang.

Namun, hari itu Amin keluar untuk ke rumah temannya di Lembah Klang. Aiman sendirian kali ini. Dia mengambil peluang untuk menonton televisyen.

"Hari minggu mungkin banyak cerita best" monolog Aiman sendirian.

Aiman menonton televisyen penuh khusyuk. Hanya bunyi deru air cond diselangi suara-suara artis yang muncul di kaca televisyen menghiasi suasana rumah yang sederhana besar itu.

"Selamat hari ibu. Moga ibu berjaya dunia akhirat".

Iklan ucapan di kaca televisyen itu benar-benar mengusik jiwanya. Dia tahu. Hari itu adalah 11 Mei. Seluruh dunia mengetahui bahawa hari itu adalah Hari Ibu Sedunia. Aiman menganggap setiap hari adalah Hari Ibu. Maka dengan itu,setiap hari dia menyedekahkan Al Fatihah buat ibunya yang telah lama pergi. Namun,apa salahnya jika hari itu disambut lebih special. Hati Aiman bagai dihiris sembilu. Matanya berkaca.

Ya. Sudah lebih dua dekad ibunya pergi meninggalkannya.

Ibu Aiman pergi menghadap ilahi ketika berperang nyawa melahirkan Aiman. Aiman membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Baginya, ayahnya adalah ibu dan juga ayah kepadanya. Namun,nasib Aiman bagai jatuh ditimpa tangga. Tidak lama kemudian,ayahnya juga turut pergi menghadap ilahi.

Ketika itu,Aiman berusia 8 tahun. Abang Amin yang ketika itu berusia 18 tahun, terpaksa melupakan cita-citanya demi mencari sesuap nasi. Ada ketika Jabatan Kebajikan datang untuk menjemput mereka. Namun, ditolak Amin. Baginya, dia mampu untuk menyara Aiman.

"Abang dulu panggil emak kita apa?" Tanya Aiman.

"Ibu, dik" jawab Amin.

Jawapan abang Amin itu masih terngiang-ngiang di telinganya. Wajah ibunya hanya mampu dilihat di dalam foto usang. Aiman tidak pernah merasa kucupan dan belaian seorang ibu. Namun,jasa ibunya yang bertarung nyawa untuk melahirkannya sudah cukup mengagumkannya. Tanpa ibu,dia pasti tiada di dalam dunia.

Setiap hari selepas solat,Aiman akan menyedekahkan Al Fatihah buat ibunya. Kadang-kadang, dia mengadakan tahlil ringkas di surau buat ibunya. Begitu juga buat ayahnya. Tiada sumbangan lain yang mampu dilakukannya. Dia tidak sempat untuk berbakti buat ibunya.

Di dalam hatinya tersimpan suatu harapan yang besar. Dia berharap agar insan lain yang masih punyai ibu bapa berbakti sebaik mungkin buat ibu bapa mereka. Sesungguhnya ibu bapa adalah permata yang tiada gantinya.

Rabu, 7 Mei 2014

Layar kehidupan : Pungguk Rindukan Bulan

Aiman menyingkap tirai di tingkap ofisnya. Dia terpaksa pulang lewat malam itu. Terlalu banyak pekerjaan yang perlu disiapkan. Kota raya Kuala Lumpur tidak pernah tidur. Walaupun malam semakin menghampiri penghujungnya. Bunyi deruman enjin masih hingar didengari. Namun,Pandangan Aiman tajam ke arah langit. Meskipun gelap. Ia menyimpan terlalu banyak kenangan. Aiman hanyut mengenang peristiwa yang terbuku di hatinya. Kesan itu masih berbekas .

Malam itu mereka dua beranak duduk bersama di pangkin di hadapan rumah. Suasana sunyi. Hanya nyanyian cengkerik dapat didengari. Bulan bersinar terang. Mereka dua beranak sedang asyik memandang langit yang gelap. Bersama-sama berkongsi pelbagai cerita. Suka dan duka. Itulah rencah yang harus mereka telan.

"Aiman,nampak tak apa yang ada di langit sana?"

"Nampak abang. Aiman nampak bulan dan bintang. Cantik sangat."

"Ya Aiman. Bulan tu mengambang penuh. Dulu arwah ayah suka ceritakan banyak kisah alam kepada abang." Jelas Amin.

"Wah,boleh abang ceritakan satu kisah untuk Aiman?"tanya Aiman.

"Sudah pasti boleh adikku. Bila abang tengok bulan,abang teringat cerita 'Pungguk Rindukan Bulan' "

Aiman mengangguk riang. Matanya bercahaya.

"Suatu malam pungguk begitu merindui bulan. Katanya "Wahai sang bulan, aku ingin benar kau menemaniku sepanjang malam. Dan aku berharap malam takkan pernah melabuhkan tirainya kerana aku benar-benar merinduimu." Sang bulan mengoyak senyum. Dia amat bangga akan apa yang dikurniakannya. Tiada ciptaan lain yang mampu menandinginya."

Amin menelan air liur untuk kembali menyambung cerita. Bersungguh-sungguh dia bercereka. Aiman pula terus khusyuk lena dalam kisah sang bulan.

"Bulan terus berbangga. Katanya "teruskan merinduiku. Maka akanku terangi seluruh malammu." Dia alpa dan terus mendabik dada. Maka suatu hari, bumi gelap. Sang bulan yang dulu bercahaya kini lenyap dari pandangan. Pungguk hiba. Hatinya berkecamuk. Beribu persoalan muncul. Sang bulan juga sedih. Cahayanya yang cantik tidak lagi wujud. Aiman tahu kenapa ini terjadi pada sang bulan?"

"Kesian pungguk. Kenapa jadi begini ya abang?"tanya Aiman

"Kemudian muncul sang mentari. "Kau terlalu sombong wahai sang bulan. Sedangkan kau sendiri perlukan bantuan yang lain. Tapi kau mendabik dada. Kau terlalu bangga dengan apa yang kau ada. Baru sebentar aku malapkan cahayaku,kau terus lenyap. Ingatlah sehebat mana pun kau sang bulan,masih ada yang lebih hebat". Ia pengajaran yang amat berguna buat Sang Bulan. Sejak dari hari itu,sang bulan tidak lagi sombong. Dan cahayanya kini kembali seperti kebiasaan. Sang bulan tidak lagi angkuh."jelas Amin.

"Oh,begitu ceritanya. Sekarang Aiman faham." Jawab Aiman sambil mengukir senyuman.

"Sehebat mana pun kita,masih ada yang lebih hebat. Jangan sesekali meninggi diri." Jelas Amin.

"Aiman faham bang."

Perbualan itu masih terngiang-ngiang di telinga Aiman. Airmata membasahi pipinya. Abang Amin terlalu banyak berjasa kepadanya.

Isnin, 5 Mei 2014

Layar Kehidupan : Sepasang Selipar Osaki

"Abang,kita datang dari jauh untuk majlis ni. Kebanyakan yang datang adalah VIP. Malulah saya kalau abang pakai selipar jepun ni. Saya bawa abang datang sini naik Audi tahu"kata Aiman bernada tinggi.

"Maafkan abang Amin ye man. Abang akan tinggalkan majlis ni. Abang tak berniat nak malukan Man. Terima kasih sebab bawa abang jalan-jalan " Jawab Amin dihimpit rasa sugul.

Majlis berlangsung dengan penuh meriah. Maklumlah anak datuk berkahwin. Banyak makanan dan minuman yang menyelerakan. Tetamu juga berpakaian segak dan cantik-cantik belaka.

Aiman dipanggil kawan-kawannya untuk berborak. Mereka sememangnya akrab sejak belajar di luar negara lagi. Terlalu banyak cerita yang dikongsi kerana sudah hampir setahun mereka berpisah. Aiman terlalu khusyuk berbual. Dia tidak sedar abangnya berjalan keluar daripada majlis.

Amin mengorak langkah dengan kepala tertunduk malu. Di hatinya dia berasa amat kecewa. Sifat Aiman sejak berjaya banyak berubah. Dia semakin lupa pesan ayah yang dulu. Dia bukan lagi mentari. Juga bukan lagi pelangi. Dia kini umpama kacang lupakan kulit.

"Baiklah ,kawan-kawan aku perlu balik. Ada hal sikit ni"jelas Aiman.

Aiman terpinga-pinga mencari abangnya. Dia lupa yang abangnya tadi ada memberitahu untuk tinggalkan majlis. Dia terus ke tempat letak kereta . Namun,abangnya tiada di situ. Aiman mundar mandir di sekitar kawasan tempat parking. Dia berasa lega setelah terlihat seorang pemuda yang sedang termenung di atas sebuah jambatan usang tidak jauh daripada tempat letak kereta.

"Abang,termenungkan apa ye?"sapa aiman.

"Abang termenung mengenangkan ayah Man. Apa agaknya khabar ayah di sana. Abang harap ayah tenang di sana."

"Ameen. Aiman harap pun begitu."

"Aiman maafkan abang kalau abang malukan Aiman. Bagi abang selipar ini tak akan menjatuhkan maruah kita. Dengan selipar inilah abang bekerja untuk sara kamu bersekolah setelah ayah tiada. Selipar ini sudah kenal perit kepayahan yang abang hadapi nak besarkan kamu hingga berjaya seperti sekarang. Abang bukan nak minta belas kasihan. Abang cuma nak Man fikir"

kedua mata mereka lebih galak merenung selipar jepun putih bertali biru berjenama Osaki yang dipakai Amin.

"Jadi,Biarpun kita punyai kereta mewah,rumah besar dan duit berkepuk. Namun,itu bukan lesen kita untuk menghina mereka yang susah. Kita juga pernah miskin Man. "

Aiman masih mendiamkan diri. Tiada kata  yang mampu diluah. Lidah nya kelu disapa rasa bersalah .

"Selipar ini tak menggambarkan apa-apa. Mahal mana pun selipar atau sepatu yang kita pakai,kita tetap sama di sisi tuhan. Kereta Ferari,jet peribadi atau apa-apa harta yang kita ada,itu semua cuma pinjaman. Bukan harta kita. Dan tidak boleh bawa masuk kubur pun. Yang kita bawa cuma pahala dan dosa. Aiman,abang harap Aiman tak kabur dengan kejayaan yang Aiman ada sekarang. Akhirat tetap menjadi tujuan utama kita hidup."

Aiman tertunduk. Matanya berkaca.

"Maafkan Aiman bang."

Rabu, 30 April 2014

Layar kehidupan : Jadi Mentari bukan pelangi.

"Ayah,Amin nak jadi macam pelangi tu. Cantik. Semua orang suka ." Jelas seorang anak sambil menunjuk ke arah pelangi.

Si ayah tersenyum mesra.

"Anakku,cuba bagitahu ayah. Selain nampak cantik,apa lagi kelebihan pelangi?"Tanya si ayah.

"Err,err cantik je la yang Amin tahu."

"Amin tahu kenapa dunia sudah makin tak aman. Orang berpecah dan bergaduh sesama sendiri"

"Kenapa ayah?" Amin terkebil-kebil mendengar kata-kata ayahnya.

"Pelangi itu cantik dan ia cuma cantik di mata. Disebabkan semua ingin cantik seperti pelangi macam-macam yang sanggup dilakukan. Bila ada orang lebih cantik dari kita,kita iri hati. Bila sudah cantik,kita jadi bongkak. Begitulah anakku."

"Oh,amin faham." Amin mengangguk tanda faham.

"Ramai yang cuma nampak pelangi tapi tak nampak apa yang sebenarnya menyebabkan pelangi nampak cantik. Ianya adalah mentari." Jelas ayah.

"Kenapa dengan mentari ayah?"tanya Amin.

"Tanpa mentari tiadalah pelangi. Pelangi dibias oleh cahaya mentari. Tapi ramai yang tak sedar anakku. Ramai yang mengeluh tatkala mentari menyinar. Panas kata mereka. Sedangkan mentari terlalu banyak jasa kepada kita."gumam ayah.

Amin mengangguk sambil mengukir senyuman buat ayahnya.

"Jadi,ayah nak Amin jadi mentari bukan pelangi. Biar kita tidak kelihatan cantik di mata dunia tetapi bermanfaat kepada semua insan. Biarlah ia urusan kita dengan tuhan.

Amin tersenyum. Kenangan itu masih kekal dalam ingatannya. Kata-kata arwah ayahnya itu terus menjadi inspirasinya. Dia melihat adiknya Aiman membesar. Dia berusaha keras membesarkan Aiman yang muda 10 tahun daripadanya. Ayah meninggalkan mereka ketika Amin berumur 18 tahun dan Aiman berumur 8 tahun . Dia harap dia dapat jadi insan yang bermanfaat buat adiknya. Moga adiknya menjadi insan yang terbaik.

Sabtu, 26 April 2014

Harimau Itu !!

Harimau itu
kami benarkan
bermaharajalela di tempat kami 
kami benarkan
bermesraan dengan budaya buana.

Kami benarkan
kerana kami inginkan sanjungan
Bukan apa-apa
dan kami lupa
Harimau itu akan membaham kami
Meratah warisan budaya
mencakar peradaban
menggonggong bendera 
Bila-bila masa.

-Musafir Faqir-

Jumaat, 25 April 2014

Marwan kanak-kanak Syria



Marwan terlalu kecil
Hanya tangisan
Yang mampu diluah
Air mata membasahi
Bukti luka
Penderitaan Marwan.

Marwan terlalu kecil
Hatinya dirobek 
Hancur mulus
Orang tua Marwan
Sirna di kaca matanya
Dimamah anjing
Tidak berjiwa.

Marwan terlalu kecil
Namun,
Pada genggamannya,
sebuah batu kecil
Tekadnya tetap kuat
Buat tanah Syria
Darah dan laungan
Menjadi saksi.

-Musafir Faqir-
#PrayForSyria

Khamis, 24 April 2014

Jangan jadi tin kosong

Kadang-kadang kita lebih terdorong membicarakan tentang sesuatu sedang kita tak punya banyak ilmu mengenai sesuatu itu. Hanya dengan secebis ilmu yang kita ada,kita seolah bongkak berbicara tentang soal itu. Kita seolah olah tahu pucuk pangkal sesuatu cerita. Akhirnya,dengan ilmu yang cetek kita membuat kesimpulan kita sendiri berdasarkan logik akal.

Mungkin entri ini bersifat jumud. Aku seolah memperkecil individu yang banyak membuat keputusan berdasarkan logik akal. Tapi cuba fikirkan apa yang cuba aku sampaikan. Bangsa kita semakin kurang membaca. Apabila cerita-cerita atau berita yang terbang macam angin, kita terima bulat-bulat.

Mengikut kajian,membaca dapat elakkan kita daripada penyakit nyanyuk. Apabila membaca, kita akan kembangkan banyak perkara. Yang paling penting kita jadi berilmu. Orang berilmu sifatnya macam resmi padi. Makin berisi makin tunduk.

Kini lebih ramai yang berbicara seolah-olah berlagak pandai. Akhirnya, kita bergaduh bagai anjing dengan kucing. Masing-masing tak tahu apa yang disampaikan. Aku perhati semua ini dalam masyarakat kita dan aku cuba elakkan diri daripada semua ini.

"Jangan jadi tin kosong. Lebih baik katakan aku tidak tahu. Jadilah diam-diam ubi berisi"

Selasa, 22 April 2014

Tabahlah Duhai Teman

Harini aku bersantai bersama sahabat karibku di Tanjung Emas,Muar. Taman rekreasi yang sangat sesuai untuk merehatkan pemikiran dan menenangkan perasaan. Dedaun hijau yang menyegarkan,angin sepoi-sepoi bahasa serba sedikit menghadirkan ketenangan dalam jiwa yang masih diulit kegelisahan menanti keputusan temuduga aku bagi Institut Pendidikan Guru.

Ternyata banyak cerita yang dikongsi kami. Dia dengan ceritanya dan aku dengan cerita ku. Namun,aku tahu. Air mukanya kelihatan sedih. Dia tidak kelihatan seperti dirinya yang selalu. Seorang cool dan steady. Dia juga langsung tidak menceritakan kondisi ayahnya dan cuma memberitahu ayahnya sakit. Mungkin dia tidak mahu aku turut serta terbelenggu dalam kerisauannya.Dia tetap menemaniku hari ini. bersama aku meluangkan masa yang masih tersisa sebelum kami membawa haluan masing-masing ke universiti-universiti pilihan. Dia punya cita-cita. Begitu juga aku. Sejak di bangku sekolah kami bersahabat baik. Berkongsi suka dan duka. Jelas sekali, sejak mula kami berbual aku perasan riak wajahnya menggambarkan ada sesuatu yang mengganggu pemikirannya. Namun,aku harap dia tabah.

Ya.Hatinya pasti sedang gundah gulana. Khabar ini aku terima dari teman-teman. Ayahnya dimasukkan ke hospital kerana sakit jantung. Ketika itu,ayahnya dalam perjalanan ke mesyuarat di sebuah sekolah di kawasan Muar. Anak mana yang tidak risaukan kesihatan orang tua mereka bukan?.Namun,Tuhan terus mengujinya. Kondisi ayahnya semakin teruk dan dihantar ke Institut Jantung Negara. Ada tanda blockage pada salur jantung ayahnya. Aku lantas membayangkan betapa tabahnya teman aku ini hingga masih mampu tersenyum. Walau senyuman yang diukir itu pahit bagi dirinya. Dia masih tabah.

Dia juga ada menceritakan yang dia terpaksa mengorbankan masa lapangnya untuk menjaga ayahnya yang sedang sakit. Dia sangat menggemari sukan basikal. itulah minat dan keghairahannya. Namun, dia korbankan demi menjaga ayahnya. Waktu cutinya terisi dengan kebajikan itu.

"Kau hebat kawan. Aku selalu berharap akan jadi sekuat kau. Moga Tuhan terus bersama kau"Monologku sendirian.

Tiada bait yang mampu aku lafazkan agar kau tenang sahabatku. Hanya doaku yang mengiringimu di tepian pengembaraan ini. Tabahlah duhai teman !!


Isnin, 21 April 2014

Merpati Putih,Jelajahilah Dunia ini (Usman Awang)

Dalam keruncingan manusia bimbang curiga
terbang ia menjelajahi dunia 
putih sayapnya melambai cinta damai
bersih bulunya mengibarkan panji hidup bersama.

Merpati putih,jelajahilah dunia ini
hembuskanlah udara baru yang kauhirup dari malam
bunga-bunga mekar menguntum
bibir-bibir segar tersenyum.

Siapa manusia yang tiada putus asa
hiruplah udara baru yang segar berkembang
isilah dunia ini dengan keyakinan perdamaian
hembuskanlah nafas pada malam yang lena.

Siapa manusia yang pernah berkhianat
jadilah debu yang terbang mengakhiri ayat
duniamu tenggelam bersama patung-patung usang
di cermin hidup ini wajahmu menghilang.


-Usman Awang-



Sajak ini memberi fokus kepada suara cinta penulis kepada suasana dunia yang aman damai.Untuk mewujud dan mengekalkan suasana tersebut,Usman menyuarakan harapannya supaya  manusia terutama para pemimpin yang berjiwa suci dan berjiwa suci yang dan jujur agar mentadbir negara bebas daripada pengkhianatan. Ayuh pupuk diri kita untuk jadi merpati putih! kita semua khalifah .

#3 : Kelkatu Malam

Kita sebenarnya,
Tak ubah seperti Kelkatu.

Di malam hari,
Kelkatu,
Mengerumuni Cahaya,
Meskipun panas membakar diri,
ia seolah kaku,
Ghairah dengan kecantikan cahaya,
walau ia tahu,
sebenarnya kecantikan itu memudaratkan.

Gurindam Baris Hadapan (Rahman Shaari)

Tidak berbuat walaupun tahu,
Diambil pengayuh dibuang perahu.

Tidak tahu tapi berbuat,
kayuh perahu atas darat.

Banyak bercakap tak baca buku,
macam mambawa duit tak laku.

Kurang berfikir rajin membangkang,
Bila-bila pun di baris belakang.

Ilmu dituntut dengan tabah,
Yakin diri bertambah-tambah.

Membaca buku karangan tokoh,
bagai berpaut di dahan kukuh.

Kembang ilmu tegap wibawa,
Seluruh rakyat tidak kecewa.

-Rahman Shaari-

   Gurindam ini jelas sekali menghuraikan sikap tentang kebijaksanaan manusia. Secara individu saya amat menyukai gurindam ini kerana secara tidak langsung gurindam ini ada unsur sinis terhadap segolongan manusia yang bersikap seperti tin kosong. Juga nasihat berguna buat diri saya supaya mempunyai ilmu cukup di dada dan bukan hanya tahu bercakap kosong.

Ahad, 20 April 2014

Mungkin Belum Rezeki aku

Harini,
Mataku lebih giat menatap skrin laptop,
dalam bisikan,
aku membaca post,
teman-teman,
gaya pengolahan mereka seperti kegembiraan,
menunggu ketibaan hari temuduga,
katanya,
nak temuduga untuk berkelana jauh,
biasiswa tinggi.

Namun,
Aku cuma memandang,
Membisu,
tanpa,
Menghadirkan sebarang komen,
kata membina atau ucapan tahniah,
Tapi,
Aku masih mendiamkan diri,
Mungkin belum rezeki aku.

Sabtu, 19 April 2014

#2 : Iman dan Taqwa Bukan Diwarisi


Tak kisah,
siapa kau,
siapa yang membesarkan kau,
apabila,
fikiran mulai matang,
kau mulai punya akal,
tahu beza,
Baik dan buruk,
Iman dan Taqwa,
adalah hidup mu,
siapa orang tua mu,
imam,ustaz,
tidak akan menentukan,
nilai iman dan taqwa mu.

Jumaat, 18 April 2014

Kasih seekor Ibu ayam


    Harini mataku lebih galak memandang seekor ayam betina yang sedang mengeram telur. Aku tersenyum sendirian. Dan aku ada cerita untuk dikongsi. Ayam adalah binatang. Dan ia tak punya akal untuk berfikir. Tapi ia punya kasih sayang yang semua makhluk ada.

   Teringat zaman kanak-kanak ribena dulu. Aku sangat suka usap dan pegang anak ayam. Comel. Bulunya mulus dan lembut kekuningan. Aku lebih gemar menangkap dan membawanya di dalam poket seluar. Bunyinya yang halus mengicip membuatkan aku tidak sedar yang ia dalam seksa. Kejam. Tapi itu ketika kanak-kanak lah. Haha.

   Begitulah tindak tanduk aku ketika melihat anak ayam. Sehinggakan suatu hari,aku sedang gembira bermain dengan anak ayam. Aku mendengar suara seakan garau yang meneran dari belakangku. Ketika itu,aku berada di kawasan reban ayam.

   Terkejut dengan bunyi pelik itu, aku curi lihat ke belakang. Dan aku dapati seekor makhluk sedang mengembangkan bulunya seperti ada yang tidak kena. Itu ibu ayam. Agaknya dia sedang marah. Lantas ia membuka langkah dan mengejarku.

   Lintang pukang aku lari menyelamatkan diri. Dek kerana masih kecil larianku tidak sepantas lipas kudung. Tiba-tiba aku jatuh tersungkur tersepak batu. Anak ayam keluar dari poket seluarku. Kakiku dipatuk ibu ayam. Aduhh. Sakit.

   Aku terus pulang ke rumah dalam keadaan air mata berjurai. Sakit. Di rumah aku ditertawakan. Biasalah ini semua angkara kenakalan aku sendiri.
  
   Hingga sekarang aku masih terfikir tentang peristiwa pahit itu. Betapa sayangnya ibu ayam terhadap anaknya hingga aku,makhluk yang lebih besar daripadanya ia sanggup melawan demi anaknya. Sedang kita manusia punya akal dan kasih sayang membuang anak merata-rata. Abaikan anak. Ibu ayam atau kita yang binatang sebenarnya?

#1 : Belajar Bersyukur


Jangan terlalu asyik,
Mendongak ke langit,
Hingga lupa,
kita masih berpijak,
Di lantai bumi.

Khamis, 17 April 2014

Selamat Malam Awak!

Malam,
akan pergi tinggalkan kita,
Bulan yang bersinar,
makin pudar serinya,
Bintang di langit,
malap berkerdip,
Pilu,
tidak mampu menerangi bumi,
tanpa henti,
Kerna hari esok,
juga pasti Menjelma.

Namun,
awak masih di sini,
temankan saya,
dalam kepiluan malam,
meski,
berjuta tanda tanya,
berkabus di fikiran,
tentang warna hari esok,
Terima kasih,
Dan Selamat malam awak .

Rabu, 16 April 2014

Secebis Harapan

Aku Insan kerdil,
Cuma,
Sejenak,
Menumpang dunia,
Menjunjung harapan,
Setinggi gunung.

Kerap kali,
Aku lemas dalam kecewa,
Dihempas ombak,
yang semakin menggila,
Hanya harapanku,
Kini masih tersisa,
Menemaniku menongkah waktu.

Selasa, 15 April 2014

Istikharah terjawab!

  Alhamdulillah. Pening kepala gelisah,risau mula luntur daripada terus menyaluti sanubariku. Aku lega. Aku harap pilihanku ini tepat. Dan petunjuk itu jelas sangat. Nak tahu apa yang terjadi?agak lucu sebenarnya.
  Sebenarnya hatiku sudah mula terpanggil untuk ke UPNM. Tapi pilihan aku masih bersikap atas pagar. Namun,sejurus selepas memuat turun borang dan maklumat temuduga,aku meneliti syarat kelayakan. Aku melepasi syarat ketinggian dan berat. Wah. Hatiku mula senang.
 
   Namun,aku lupa tentang BMI. Apabila disemak kembali,BMI yang diinginkan adalah 17-23. Maka, aku bingkas mencari kalkulator. Tanganku menaip pantas butang kalkulator. Hatiku mula diselubungi perasaan tak sabar. Ada ketika aku tersalah tekan butang. Tapi aku terus menekan.
  Tuptup. Aku tekan butang answer. Dan keputusannya BMI aku adalah 15 dan ternyata tidak melepasi yang disyaratkan. Aku menepuk dahi.
  "Aduh,begini pula jadinya.Bagaimana ini ya?" tanya ku sendiri.
   Aku terus menelefon UPNM untuk mendapatkan pengesahan. Ternyata mereka mengambil serius tentang BMI. Tapi katanya aku boleh cuba datang. Mana mungkin aku ingin main cuba-cuba. Tarikh temuduga IPG juga menanti.
   Seandainya,aku mencuba temuduga UPNM pasti aku terlepas temuduga IPG kerana ia berlangsung pada hari yang sama. Ini masa depanku. Tiada masa untuk cuba-cuba.
   Jadi,aku rasa kalau aku ke sana sudah tentu dengan satu kekurangan. Memanglah kalau ada rezeki tak kemana. Tapi itulah aku tidak mahu jadi seperti peribahasa "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran".
  Jadi,muktamad aku memilih temuduga IPG. Moga dipermudah segalanya. Ameen :)

Isnin, 14 April 2014

Perang IPG dan UPNM

  Hari penuh konflik semalam telah merebak kepada hari ini. Aku mendapat kejutan yang paling tidak aku duga. Hari ini aku perlu buat keputusan getir sepanjang hidupku. Ini masa depanku. Mana mungkin aku nak buat acuh tak acuh. Dan jalan yang aku pilih itu pasti tiada gear reverse. Alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan.
  Memang aku sudah tanamkan niat di hati ingin mencuba semua temuduga yang aku terima. Antara temuduga yang aku terima setakat ini adalah temuduga Institut Perguruan (IPG) dan temuduga pegawai kadet UPNM.
  jadi,aku sudah merencana lebih awal untuk menyediakan diri sebelum temuduga IPG kerana tarikh temuduga IPG diumumkan lebih awal sedangkan tarikh temuduga UPNM belum diumumkan.
 
  Lewat petang semalam, aku menyemak semula tawaran UPNM. Dan aku dapati tarikh temuduga UPNM sama seperti tarikh IPG. Iaitu 16 April. Ya Allah,ini dugaan berat buatku. Mana pilihan yang aku harus pilih? Keduanya adalah minatku.
   aku terus menarik nafas panjang dan bermonolog.
   
    "Istikharah yang terbaik"
 

Ahad, 13 April 2014

Kitakah Sang Gagak?

Salam terindah untuk penukil blog Hikayat Musafir Faqir, cukup saya gelarkan dia Si Musafir.
Si Musafir yang menjemput saya menghiasi dan menukang blognya sedikit sebanyak. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan, akan akak manfaatkan sebaiknya. Meski usia perkenalan tidak sampai setahun, dia sudah saya anggap seperti adik sendiri sementelah saya juga mempunyai seorang adik perempuan berusia 17 tahun.Ya, bakal menduduki SPM tahun ini. Doakanlah dia. Orangnya beda berbanding saya, baik dari segi pemikiran, personaliti, mahupun sikap. Dan saya terlalu bersyukur dikurniakan adik sepertinya - satu-satunya insan yang boleh bersabar dengan saya hingga sekarang-.

Adik-adikku,

Perjalanan kita masih terlalu jauh. Sejauh bintang Kartika yang cuba engkau genggam. Nun liat di sana, bintang itu mengerlip dan berkilau, menggamit hasrat hati seorang remaja belia yang baru melangkah ke dunia sebenar. Kehidupan adalah rencah adunan pahit dan manis. Sesekali ia akan menolak kita, menghunjam ke dasar yang paling dalam, melambung-lambung pula hingga menggapai pelangi indah dan ada kala ia akan sepi tanpa lagu, umpama tasik tenang tanpa segarit suka mahupun duka.

Mahukah adik-adik dengarkan sebuah kisah rakyat yang masyhur tentang seekor gagak dan balang air? Ya, kisah masyhur itu. Mari akak kisahkan kembali. Di suatu tempat terpencil, terjadinya musim kemarau panjang. Terbanglah Sang Gagak mencari bekalan air untuk menampung dirinya yang kian kehausan. Kala ia menjumpai sebiji balang air, ia kegembiraan. Namun gembira itu lekas terusir di saat melihat terdapat hanya sedikit air di dalam balang tersebut dan tiadalah upayanya dia untuk meminum air tersebut dek paruhnya terhalang pada mulut balang yang kecil. Dia mengeluh dan terus berfikir. Lihat adik-adik, tidak ditinggalkan terus harapan yang secebis itu. Maka dia mendapat satu idea. Dikumpulkannya batu-batu kerikil sekitar kawasan tersebut, kemudian dimasukkannya ke dalam balang. Sehingga akhirnya air itu naik sedikit demi sedikit kerana balang mula terisi dengan batu-batu kerikil. Sampai saat batu penuh, maka air itu dapat dinikmatinya sepuas hati.

Ayuh kita lihat apa yang ada di sebalik kisah ini. Akak memetik kata-kata Prof Muhaya,

"Orang jernih akan memikirkan solusi, manakala orang keladak hanya mengeluh tentang apa yang dihadapi"

Mudah bukan?


Adik-adik yang disayangi,

Harapan yang secebis itu bukan untuk kita tangisi, apalagi menyesal akan kondisinya yang sedikit cuma. Harapan yang sedikit itu adalah petanda bahawa Allah swt ingin kita berusaha dengan lebih gigih. Akak sangat percaya setiap apa yang Tuhan ciptakan atau timpakan pasti ada sebab musababnya. Apabila datangnya cabaran, maka cuba kita telusuri kembali apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh Allah kepada hamba-Nya yang maha kerdil ini? Apa mesej yang ingin diberitahu? Apa pengajaran yang aku boleh belajar? Tuhan tidak pernah kejam, Dia hanya ingin mengajar kita!

Memetik kembali kata-kata Prof Muhaya,

"Orang berjiwa kecil apabila berdepan dengan cabaran seumpama berada di dalam sebuah tandas sempit, kemudian didatangi seekor lipas, maka dia terjerit-jerit kerana menganggapnya sebagai satu masalah yang cukup besar. Orang yang berjiwa besar pula apabila berdepan dengan cabaran seumpama sedang berada di dalam sebuah zoo yang besar dan dihadapannya kini terdapat seekor harimau, namun dia tidak terjerit-jerit seperti orang pertama tadi kerana dia melihat itu sebagai satu masalah kecil"

Jauh kita meneroka bersama. Apa yang ingin akak tekankan di sini hanya erti sebuah pengharapan. Masih ingatkah adik-adik akan kisah Nabi Ismail dan ibunya, Siti hajar yang ditinggalkan di padang kering kontang tanpa penghuni? Di kala itu, siapa yang ada untuk mereka bergantung harap? Siapa yang mereka punya untuk bersandar penat dan lelah? Pada siapa akan mereka adukan segala kesulitan bahana malapetaka yang mungkin menimpa?

Tiada sesiapa, adik-adik. Tiada sama sekali. Mereka hanya punya Dia. Dan kita juga, apabila tibanya saat perpisahan yang sementara namun memeritkan itu (kematian), kita tidak punya sesiapa sebagai pengandar kehidupan. Cukuplah Dia sebagai peneman sepanjang meniti alam kehidupan ini.

"Hasbunallah wa ni'mal wakil"

Ada apa di Harajuku? Hatiku Di Harajuku

"Jika masih belum membaca Hatiku Di Harajuku, maka awak hanya mengenali 50 peratus Ramlee Awang Murshid," ulah teman saya yang nyata menjadi pembakar semangat untuk membaca novel tersebut (dan novel tersebut mampu saya habiskan dalam masa hanya lima jam membaca tanpa henti!)


"Hatiku Di Harajuku" mengisahkan tentang seorang anak muda Melayu (Risham) yang bercita tinggi ingin menjadi seorang samurai di Bumi Jepun. Noriko antara penyebab dia memasang impian sebegitu selain percaya bahawa nasib hidup tidak menyebelahinya-sejak kecil. Dan dia berjaya menjadi anak didik Yamasaki (datuk Noriko). Risham merupakan satu-satunya anak Melayu yang menjadi samurai di Jepun; digelar sebagai Ryu-Watanabe, digeruni lawan dan dihormati kawan.

Namun segalanya berubah apabila Noriko ditunangkan dengan seorang samurai Jepun yang lain dek hambatan adat. Ryu-Watanabe menghilangkan diri kerana kecewa. Kehilangannya menyebabkan kumpulan Yakuza Amikie kehilangan taring dan terjadilah huru-hara di Harajuku dan Namuza (kawasan mereka) berpunca daripada Yakuza Jiro (musuh ketat). Namaguru (bapa Noriko); yang merupakan ketua kumpulan Yakuza Amikie dibunuh, termasuk seluruh ahli keluarga Noriko. Hanya Noriko terselamat. Dia berazam untuk membalas dendam. Siri pembunuhan ke atas kumpulan Yakuza Jiro dilakukan dengan terperinci dan berterusan.

Sementara itu Risham membawa diri ke Malaysia dan berlakon sebagai seorang dungu di bawah majikannya, Sabrina. Sementelah mengetahui cerita tentang amukan seorang samurai di Jepun (melalui sepupu Sabrina), Risham lantas meneka itu adalah Noriko. Dan dia bercadang untuk membawa Noriko kembali ke jalan yang benar, sebagaimana dirinya yang memulakan hidup baru tanpa dendam ke atas Yakuza Jiro.

(Tiba-tiba rasa macam cerita satu-persatu pula, hinggakan naik pening)

Di Jepun, Noriko yang disangka Ryu-Watanabe diburu oleh Yakuza Jiro. Sabrina mengetahui Risham adalah Ryu-Watanabe (seperti yang disangkanya selama ini) selepas berlaku satu penculikan keatasnya di Jepun. Rahsia terbongkar. Di sini juga, Risham dan Sabrina menyedari mereka saling mencintai. Noriko yang dipujuk agar kembali ke pangkal jalan berdegil ingin membalas dendam atas nama darah Amikie. 

Di pihak Yakuza Jiro, telah berlaku beberapa pengkhianatan dari dalam dan akhirnya jawatan ketua kumpulan jatuh kepada Kobun; seorang yakuza yang bercita-cita menghentikan segala perselisihan antara yakuza dan mewujudkan keharmonian. Dengan bantuan Kobun, kematian Noriko direka-reka untuk menyelamatkan keadaan. Risham kembali ke Malaysia dengan perasaan berkecamuk selepas mengetahui Noriko mati. 

Di Malaysia, secara tiba-tiba Robin, Maniam dan Iskandar dibunuh. Risham disyaki sebagai pembunuh oleh Sabrina kerana sejarah silamnya terdahulu. Kepercayaannya terhadap Risham meluntur. Risham kecewa. Beberapa tika, Risham berjaya dibuktikan tidak bersalah, sebaliknya semua pembunuhan itu dilakukan oleh Noriko yang berusaha menjauhkan Sabrina daripada Risham. Segalanya terungkai apabila Risham mengetahui ayahnya, Rahman masih hidup. Dia memberi peluang kedua kepada ayahnya untuk memulakan hidup baru sebagai sebuah keluarga; walaupun tanpa arwah ibunya, Rabiah. Noriko melarikan Risham ke suatu tempat.

Segalanya bertemu titik noktah apabila Risham berkahwin dengan Noriko dan memulakan hidup baru mereka di Brinchang, Cameron Highland; dengan mengusahakan 'Strawberry Harajuku'. Sabrina kecewa kerana cintanya tidak kesampaian. Noriko memeluk Islam dan mereka hidup bahagia walaupun sesekali hati kecil Risham terusik dengan kenangan lamanya bersama Sabrina. Tamat.

Pada hemat saya, watak yang diwujudkan berjaya diadunkan dengan baik sekali. Konflik-konflik yang merangkumi aspek kekeluargaan, persahabatan, percintaan dan dendam sebuah kehidupan nyata mampu membawa pembaca ke suatu alam lain dengan penuh debaran dan kejutan. Renjisan kerohanian melalui perspektif Islam menyegarkan jalan cerita. Novel ini turut mendedahkan kepada pembaca tentang budaya yakuza. Namun, di pengakhiran cerita muncul beberapa persoalan kecil seperti bagaimana Noriko memeluk Islam? Siapakah Iskandar sebenarnya? Siapa yang menyelamatkan kekecewaan Sabrina? Bagaimana Risham boleh menikah dengan Noriko? Dan beberapa persoalan lagi. Saya percaya ada sebab mengapa persoalan sebegini tidak ditonjolkan oleh penulis. Namun ia hanyalah sudut pandang saya yang maha kerdil ini. Namun secara peribadi, saya merasa bahawa Sabrina lebih berhak ke atas cinta Risham walaupun kepercayaannya sedikit tercalar kerana pembunuhan yang berlaku. 

Sekian. Terima kasih.

Bianglala Ain

Seindah namamu Ain,
kuukir pada diam awan bisu,
kusemat ia kemas di laman nurani,
agar engkau tahu,
engkau seindah namamu.

Katamu
kasih sayang melangkaui logik akal.
Ku kulum ia rapi,
tersembunyi di balik selimut keliru,
aku mengoyak senyum,
agar engkau tahu,
aku sentiasa disisimu.

Kejarlah mimpimu Ain,
seindah pelangi
yang engkau titipkan padaku.
Kejarlah bintang Timurmu,
khabarkan padaku nanti,
akan terang sinarnya.

11.43 malam,
11 April 2014
UIAM
Kembara ke UIAM Kuantan; menjenguk sahabat di sana =)

Semoga ketemu lagi. Ganbatte ne!

Aku tentera?

Hari ini aku terima sebuah SMS daripada UPNM."Tahniah anda terpilih untuk menghadiri temuduga sebagai pegawai kadet UPNM"
  Beribu persoalan terdetik dalam buku hatiku. Tawaran ini adalah pautan daripada permohonan UPU. Dan aku memang ada memohon ke UPNM tapi dalam pilihan ketiga. Aku menyangka bahawa aku pasti ke UIA. Tapi?
  memang terlalu awal untuk aku meramalkan apa yang akan aku terima. Namun,teka-teki ini terus melemaskan aku ke lautan keresahan. Aku mula keliru dan termenung memikirkan masa depan ku. Bagaimana dengan impian yang aku rencanakan selama ini?
  Bersediakah aku untuk semua ini? Aku sendiri sudah kenal serba sedikit potensi diri aku yang agak tidak menyukai aktiviti yang terlalu lasak. Aku juga tidak suka berada dalam keadaan paksaan. Tapi?
  Ya Allah, seandainya tertulis keputusan permohonan UPU aku ke UPNM,bantulah aku membuat pilihan yang tepat.
  Aku sedia maklum kewangan tidak akan menjadi suatu masalah berada di UPNM. Namun,aku sendiri tidak pasti adakah aku bersedia untuk semua ini.
  Moga dipermudahkan segalanya.

Sabtu, 12 April 2014

Lelaki Gila dengan lagunya

"C.I.N.T.A cinta kita,satu rasa".
  Aku tersenyum pagi itu. Seperti kebiasaan,pada hari ahad aku akan bersarapan di Warung Rindu Selalu. Seorang lelaki mungkin kurang siuman, akan mendendangkan lagu rock 90-an kepada kami. Tauke kedai itu sudah kenal benar dengan lelaki kurang siuman itu dan Tauke selalunya memberi upah seringgit dua kepadanya sebagai tanda penghargaan.
  Setiap pagi, lelaki kurang siuman itu akan mengunjungi kedai itu untuk mendendangkan lagu. Aku respect lelaki kurang siuman ini kerana dia berusaha mencari wang bukan mengemis. Tapi bunyi janggal bila aku kata,aku respect orang gila. Haha. Tapi dia makhluk Azza wajala juga kan?. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini.
  "Mad,kau pernah terfikir tak? Kenapa orang gila tak pernah demam,migrain,sakit2?"
  "Betul juga kata kau. Tapi aku rasa sebagai manusia kita tak boleh lari dari sakit. Mungkin dia sakit tapi Allah pelihara kesakitan dia"
  kedengaran perbualan dua orang lelaki asing yang baru hari ini mengunjungi warung ini. Mungkin dia agak teruja mendengar nyanyian lelaki kurang siuman itu yang persis suara Jamal Abdillah.
  Aku terus memasang telinga mendengar perbualan mereka.
  "Dia ni memang boleh nyanyi Mad. Cuma pitching lari sikit."kata seorang lelaki sambil ketawa kecil.
  "Betul tu. Masuk Vokal Bukan Sekadar Rupa pun boleh pergi jauh ni."
  "tapi kita kena ingat. Kita ketawakan dia tapi Tuhan dah jamin dia di syurga. Kita bagaimana la nanti ye."
  Aku terkedu mendengar perbualan mereka. Mungkin ada benarnya .

Tulislah dengan Hati

  Hari ini saya rasa sangat bahagia. Terasa seperti satu dunia melihat saya. Haha. Tidaklah. Cuma hiperbola. Hari ini saya dihujani banyak komen dan dorongan daripada sahabat-sahabat tidak kira kaum adam ataupun hawa. Post saya berjudul Warkah Rindu Buat Sakura mendapat sambutan yang menggalakkan. Mungkin perkataan 'rindu' itu membuatkan post itu kelihatan jiwang. Namun,post ini saya tulis hanya kerana saya ingin benar ke negara matahari terbit. Tapi apakan daya, belum rezeki.
  Saya disapa banyak orang yang bertanyakan mengenai puisi ini. Namun, bukan publisiti yang saya cari. Saya tahu puisi ini masih banyak kecacatan yang boleh diperbaiki. Maklumlah masih baru dalam penulisan kreatif ini.
  Sebenarnya saya berasa sangat bersyukur dihujani komen yang banyak. Terasa disayangi sebenarnya. Masih ada yang prihatin tentang saya. Hehehe.
  Sejujurnya,saya menulis puisi atas dasar rasa keinginan yang sangat berkobar-kobar. Hanya tuhan yang tahu apa yang saya rasakan sekarang. Harapan saya untuk ke Jepun kelihatan semakin lebur. Permohonan saya untuk tajaan biasiswa ke sana tidak diterima. Mungkin disebabkan result SPM tidak menepati kehendak syarat yang ditetapkan. Tapi, tak mengapa. Saya akan terus berdoa. Kerana takdir kita, kita tak tahu.
  Secara individu, saya berasa post ini mendapat perhatian kerana ia ditulis dengan penuh perasaan walau bahasanya kurang menarik. Teringat akan pesan mentor saya,Ibnu Ahmad Al Kurauwi, "jika ingin menulis,tulislah dengan hati. Nescaya akan sampai ke hati". Kata-kata itu masih berbekas dalam lukisan kenangan dan akan sentiasa kekal di situ. Terasa rindu pula Minggu Penulis Remaja 2014. Tetapi yang berlalu biar ia berlalu. Yang penting hidup mesti diteruskan.
  Sekian saja post malam ini. Mataku mengantuk. Moga hari esok lebih Baik. Ameen :)

Katamu


Katamu,
Ayuh ubah dunia,
Kita tawan kejayaan,
Kejar kemewahan,
menjadi insan sanjungan.

Maafkan aku teman,
Katamu bukan untukku,
Hidupku milik diriku,
Hak aku menentukkan,
Susur hidupku.

Jumaat, 11 April 2014

Warkah Rindu Buat Sakura



Aku merinduimu Sakura,
Kelopak merah jambu,
Berbunga lebat,
Pada pohon rendang,
Di jalanan negara,
Matahari terbit.

Aku merinduimu Sakura,
Jauh di sudut kalbuku,
Ingin benar aku,
Mengenalimu,
Mendampingimu,
Mengasihimu,
Namun,
Pertemuan kita,
Mungkin bukan sekarang,
kerana,
Aku cuma insan kerdil,
berharap,
Ada helang,
Membawaku kepadamu.

aku akan tetap merinduimu,
wahai sakura,
sampai bila bila.

Segumpal Darah

Aku,
Punyai segumpal darah,
Dan bagiku ia aneh
Sukar dijangka.

Saat badai,
Menghempas ganas,
ia buat mataku menangis,
Saat hujan,
Membawa khabar gembira,
Ia buat bibirku tersenyum.

Aku pelik,
tapi,
Aku bersyukur.

Penantian

Sungguh,
Diri terasa kosong,
Penantian ini terlalu menyakitkan,
Sabar,
Sabar
Dan sabar.

Pandanganku masih samar,
Entah apa,
Muncul dan pergi
Dalam ruang lingkup,
kedewasaan ini,
Kerana,
Kotak masa,
Di tangan tuhan,
Dan aku hanya insan kerdil.

Pesona Alam



Sejak mula bekerja,
Hampir 4 bulan yang lalu,
Aku kerap,
Membelah kabus,
Digigit sejuk,
Adalah suatu kebiasaan,
Namun,
Aku seolah kebal,
Dek pesona alam,
kicauan burung,
Sinar ceria mentari,
Titisan Gerimis pagi,
Sungguh aku jatuh cinta.

Khamis, 10 April 2014

Kicauan burung biru



Burung Biru,
Dipaksa berkicau,
Mendendangkan kicauan dusta,
Memfitnah dan mengata,
Kesian burung biru,
Berkhidmat buat insan,
Sepanjang masa,
Sedangkan,
Mereka tahu,
Kicauan burung biru,
Takkan merubah dunia,
Bahkan ia cuma sia-sia.
"Semua Penulis pasti akan meninggal. Hanya karyanyalah yang akan abadi sepanjang masa. Maka tulislah sesuatu yang akan membahagiakan dirimu di akhirat kelak."
- Ali Bin Abi talib -