Serasa sudah lama tidak berblog. Barangkali diri ini sengaja
disibukkan untuk sesuatu yang tidak penting, walhal menulis itu adalah nadi, walhal
menulis itu adalah nyawa bagi diri seorang Maryam.
Mungkin masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Salam Ramadhan.
Esok sudah Ramadhan ke-enam. Masa begitu pantas berlari, meninggalkan sisa-sisa
hidup yang harus kita tempuhi.
Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang tersedih bagi saya. Kerana
begitu banyak berita kematian yang singgah bertandang di telinga. Bermula dengan
kawan satu sekolah menengah, arwah Nor Aishah Mohd Nor, kemudian bapa kepada
kawan, disusuli pula kawan satu kuliah, Faiz Hassan dan seorang murabbi terkenal,
arwah Ustaz Abu Bakar Chik. Dan yang terakhir adalah ibu kepada Nik Nur Madihah;
iaitu sehari sebelum tibanya Ramadhan tahun ini. Al-Fatihah. Semuanya hinggap
di telinga dalam masa dua minggu sebelum Ramadhan.
Bercerita tentang Ramadhan, kali ini Ramadhan yang saya
lalui sedikit berbeza daripada yang lepas-lepas. Kali ini saya berkhidmat
sebagai seorang guru merangkap warden asrama. Hampir sebulan sudah bergelar
guru sandaran di salah sebuah sekolah swasta di Hulu Langat, Selangor. Hidup saya
sehari-hari dikelilingi pelajar tahun satu hingga tingkatan lima.
Rupanya menjadi seorang guru ini tidaklah semudah disangka. Jika
dahulu hanya sekadar mendengar, “Guru adalah mulia”, “Guru umpama ibu bapa”,
dan berbagai lagi tanggapan tentang profesion seorang guru. Kini, saya
mengalaminya sendiri – walaupun masih terlalu hijau, paling tidak sedang
bergelar seorang guru –.
Dan benarlah, guru itu adalah air yang tenang mengalir di
celah batu, guru jua adalah umpama segelas air yang ditemui di bawah panas
terik mentari, dan terkadang guru itu seperti hujan yang menyuburkan tanaman di
tanah gersang.
Selama saya di sini, saya mengenali anak-anak (mungkin
adik-adik lebih sesuai) seperti Zarif, Taha dan Syafiq. Semuanya sekitar umur
13 dan 14 tahun. Masing-masing punya cerita yang tersendiri. Mari saya kisahkan kepada anda cerita ahli-ahli syurga ini.
Zarif adalah seorang
anak 14 tahun yang pendiam. Di kala saya mengajar subjek Matematik, dia hanya
memandang bisu. Entah faham, entah tidak. Apabila didekati, barulah diajukan
persoalan kepada saya, “Ustazah, yang ini macam mana?”
Selalu diulang-ulangnya “Ustazah, ajarkan saya” di kala saya
sedang mengajar pelajar tingkatan satu di luar waktu mengajar. Selalunya saya
hanya berdiam di surau; sementara menunggu waktu mengajar. Dan di saat itulah pelajar-pelajar datang membawa soalan
masing-masing. Zarif juga tidak ketinggalan dengan ungkapannya “Ustazah,
ajarkan saya”.
Dan apabila dibelek-belek kertas peperiksaan pertengahan
tahunnya, tiada yang betul waima satu soalan pun untuk kertas Matematik 2. Namun
saya kagum dengan kesungguhan untuk menjawab soalan tersebut. Beberapa kali
saya belek kertas tersebut untuk mengenalpasti kelemahannya, rupanya dia hanya
tersilap memahami konsep. Asas-asas seperti operasi tambah, tolak, darab dan
bahagi telah dikuasai dengan baik.
Zarif begitu mengajar saya tentang kesungguhan.
Dan di saat itu, saya yakin bahawa inilah pelajar – dengan
ungkapannya “Ustazah, ajarkan saya” – yang harus saya dekati jiwanya dalam masa
dua bulan berbaki ini untuk memberi peluang kepada seorang Zarif dalam subjek
Matematik. Kerana saya percaya Zarif sebenarnya adalah seorang pelajar yang cuma
tidak diberi peluang untuk menunjukkan potensi sebenarnya.
Saya juga berpeluang berkenalan dengan seorang pelajar
bernama Taha. Dia tidak pernah mengenali ibu kandungnya. Ceritanya terbongkar
apabila saya mengajar subjek Bahasa Inggeris.Kala pelajar lain sibuk bercerita tentang ibu masing-masing di
dalam esei, dia pula termenung panjang.
Apabila saya mampir pada mejanya, hanya
satu soalan yang terlontar dari bibirnya, “Ustazah, kalau kita tak kenal mak
kandung kita macam mana?”. Luluh hati saya kala dia bertanya sebegitu. Mungkin itulah
persoalan yang berlegar dalam menung panjangnya. Namun percaya atau tidak, saya
begitu terkesan dengan semangatnya untuk belajar. Dia tidak pernah menjadikan
ketiadaan seorang ibu kandung sebagai alasan untuk lemah dalam hidupnya. Dia, sentiasa
bersemangat di dalam kelas.
Dia mengajar saya erti kekuatan dan kecekalan dalam hidup.
Rupanya, bersama ahli syurga amat mengajar saya hikmah yang
tersembunyi. Bersama mereka amat melahirkan satu kepuasan dalam memberi sekaligus
mengajar saya erti cinta yang tersirat.
Erti cinta seorang guru kepada pelajarnya.
Erti harapan, mimpi
dan angan.
Erti polos dan kejujuran.
Dan juga erti memberi senyuman dengan senyuman.
Sebagaimana mentari yang tidak pernah jemu untuk terbit dan
terbenam setiap hari – meski manusia tidak pernah berterima kasih kepadanya –,
seperti itu jualah hakikat seorang guru. Dia akan tetap memberi dan mengasihi
anak-anak pelajarnya meski mereka bukanlah anak yang dikandung sembilan bulan
mahupun dari benih mereka sendiri.
Kerana pada seorang guru itu, akan engkau dapati erti memberi
yang cukup luas untuk diterokai!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan